Monday, December 26, 2011

Bersykurlah walau dalam apa jua keadaan

Kadangkala kita menerima kesenangan atau kenikmatan yang pasti membuatkan kita berasa gembira dan bahagia. Dan bagi kita yang menyedari bahawa segala nikmat itu adalah kurniaan dari Allah swt, kita pasti akan melafazkan "syukur alhamdulillah" dengan hati yang penuh lapang dan tenang. Namun, terfikirkah kita mahu untuk mengucapkan "syukur alhamdulillah" apabila kita diuji dengan ujian yang berbentuk kedukaan, kelukaan, kesakitan dan sebagainya? Hanya sebahagian daripada kita sahaja yang tabah dan sabar akan melafazkan "syukur" walaupun ianya "berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul."


Ketahuilah para sahabat, bersyukur itu bukanlah ketika kita mendapat kesenangan atau kenikmatan semata-mata. Tetapi bersyukur itu seharusnya kita lafazkan jua ketika kita diberikan ujian dariNya. Kadangkala kita terlupa, di dalam kedukaan atau ujian yang tidak mententeramkan jiwa kita adalah jalan untuk kita mengecapi lagi kenikmatan seterusnya yang tidak sekali pun kita sangkakan. Janganlah kita jadikan ujian berbentuk duka itu satu tembok batu untuk kita terus mengungkapkan kesyukuran kepada Allah swt. 


Kerana keperitan yang kita alami, tidak selamanya menyelubungi kehidupan kita. Allah swt Maha Mengetahui Lagi Maha Kaya. DIA mengetahui apa yang tidak kita ketahui dalam ujian yang DIA berikan kepada kita. Dalam keperitan itu pasti ada kemanisannya. Oleh itu, mari kita tanamkan dalam diri kita agar sentiasa bersyukur dengan setiap kurniaan Allah swt dalam apa jua keadaan. Allahu a'lam..





# Bersyukur kerana diberikan ujian kesakitan walaupun adakalanya tidak terlepas dari mengeluh :)

1 comments:

  1. Tahniah Buat anti walaupun agak terlewat mengucapkannya....maaf atas segalanya...semoga Allah meredhai...
    Ikhlas...a.k.a Hagemaru

    ReplyDelete