Saturday, June 25, 2011

Diri yang kerdil dan hina

Merenung kembali liku-liku kehidupan sepanjang ana meminjam segala kurniaan Allah swt, kadangkala dan bukan hanya kadangkala malahan kerap kali ana berasakan bahawa ana semakin alpa dan leka dengan pancaroba duniawi... Astaghfirullah!








Ya Allah!
Sesungguhnya kepada Engkau tempat hamba berserah
Kepada Engkau tempat hamba mengadu
Dan kepada Engkaulah juga tempat ana kembali
Engkaulah jua tempat sebaik-baik kembalinya hamba

Ya Rahman!
Dikeheningan malam ini
Hamba merasakan amat banyak melakukan dosa kepadaMu
Hamba terlalu alpa, leka, lalai dan alpa pada perintah dan pemerhatianMu
Desakan keinginan duniawi menjadikan hamba makhluk yang amat fakir
Fakir akan amalan-amalan yang selayaknya hamba lakukan terhadap Tuan dan Tuhannya
Kesedaran yang timbul kadangkala tenggelam dengan kehendak hati yang sukar ditafsirkan

Ya Rahim!
Bimbinglah hati ini
Pimpinlah diri ini
Agar sentiasa mendekatiMu
Agar sentiasa mencintaiMu lebih dari segalanya
Agar sentiasa merindui saat-saat bermunajat kepadaMu
Agar sentiasa rasa dipanggil dengan seruanMu

Ya Rabbi!
Jadikanlah hambaMu ini seorang pencinta terhadapMu
Jadikanlah hambaMu ini seorang pengikut setia kekasihMu Muhammad SAW
Jadikanlah hambaMu ini seorang anak yang solehah terhadap kedua orang tuanya
Jadikanlah hambaMu ini seorang Khaira Umairah kepada dia yang Engkau pilih
Jadikanlah apa yang Engkau takdirkan ini sebagai penguat keimanan dan ketaqwaan hambaMu ini kepadaMu
Andai tiba saat untuk hambaMu ini kembali selamanya kepadaMu, 
matikanlah hambaMu ini dalam keadaan baik beriman kepadaMu dan dalam kesudahan yang baik pula

Ya Allah! Ya Rahman! Ya Rahim! Ya Rabbi!
Dengan sebenar-benar kesungguhan dari hati yang kecil ini
HambaMu yang lemah dan kerdil ini memohon kepadaMu
Jadikanlah kami antara hamba-hambaMu yang menjadikan syariat Islam sebagai paksi dalam kehidupan
Jadikanlah kami hamba-hambaMu yang tabah dan tetap bertaqwa dalam ujianMu
Jadikanlah kami hamba-hambaMu yang berkasih sayang hanya keranaMu
Sesungguhnya kami merindukan kehidupan sebagai insan yang beriman dan bertaqwa kepadaMu...

Amiin Ya Rabb!

Hadith riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: 

Rasulullah saw. bersabda: Allah Taala berfirman: Aku sesuai dengan persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku selalu bersamanya ketika dia mengingat-Ku. Apabila dia mengingat-Ku dalam dirinya, maka Aku pun akan mengingatnya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingat-Ku dalam suatu jemaah manusia, maka Aku pun akan mengingatnya dalam suatu kumpulan makhluk yang lebih baik dari mereka. Apabila dia mendekati-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Dan apabila dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari. (Sahih Muslim No.4832)

Hati ini rasanya seperti bom yang meletup meluahkan isi yang terkandung di dalamnya...Terimalah doa hambaMu yang hina ini ya Allah!...

0 comments:

Post a Comment